DAULAT TUANKU

DAULAT TUANKU

Thursday, February 19, 2009

Gantung MB Perak tak sah


PUTRAJAYA 19 Feb. – Pedulikan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar yang ternyata amat teruk dan tidak masuk akal.

Demikian reaksi spontan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tindakan Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Tegas Perdana Menteri, apa yang harus dilakukan oleh Zambry sekarang adalah terus menjalankan fungsi pentadbiran negeri sebagai kerajaan sah seperti mana dikehendaki rakyat.

Malah, beliau menyelar perlakuan Sivakumar yang juga ADUN DAP kawasan Tronoh itu sebagai tidak menghormati keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang berkenan melantik Zambry dan barisan Exconya mengetuai kerajaan negeri.

‘‘Ini merupakan usaha terakhir pakatan pembangkang mahu menggulingkan kerajaan BN yang sah di Perak.

‘‘Oleh itu kerajaan negeri Perak (diterajui Zambry) perlu membuat laporan polis kerana apa yang dilakukan oleh Speaker DUN Perak itu sesuatu yang menyalahi atau menolak apa yang telah dilaksanakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dan perlembagaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-Kanak Gaza di Sri Perdana di sini hari ini.

Semalam, Sivakumar mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu dibuat melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai oleh Sivakumar.

Sivakumar dalam kenyataannya menegaskan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dan enam Exco dalam kerajaan negeri yang baru itu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan.

Ekoran itu, Zambry digantung dan dilarang menghadiri sidang DUN selama 18 bulan manakala enam Exco pula dikenakan hukuman sama selama 12 bulan.

Abdullah berkata, tindakan Sivakumar itu juga bermotif untuk mengurangkan bilangan wakil rakyat BN dalam DUN menjadikannya daripada 28 kepada 21 ADUN sahaja.

‘‘Ertinya 21 dan kalau ada undi, mereka berharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti dalam pakatan pembangkang. Niatnya tidak ada yang baik, hanya untuk menggulingkan kerajaan BN yang diwujudkan,” katanya.

Justeru, kata Abdullah, dalam situasi sekarang adalah lebih baik BN meneruskan pemerintahannya supaya kerajaan negeri terus stabil sekali gus memastikan perkhidmatan yang berterusan untuk rakyat.